Syirik
Syirik adalah perbuatan menyekutukan Allah
dalam apa juga bentuk sama ada perkataan, pegangan, perbuatan dan
iktiqad iaitu dengan menjadikan suatu yang lain iaitu makhluk bernyawa
atau tidak sekutu bagi Allah.
Menyekutukan Allah jelas dianggap syirik apatah lagi perbuatan
mengaku diri sebagai tuhan. Lebih mengundang bahaya apabila golongan ini
ada di dalam masyarakat sama ada diketuai orang Islam atau bukan Islam.
Firman Allah yang bermaksud: “Bahawasanya, sesiapa yang
mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, maka sesungguhnya Allah
haramkan kepadanya syurga dan tempat kembalinya ialah ke neraka.” – (Surah al-Ma’idah, ayat 72)
Firman-Nya lagi yang bermaksud: “Bahawa sesungguhnya Allah tidak akan
mengampunkan dosa seseorang yang syirik kepadanya dan Allah akan
mengampunkan kepada sesiapa yang Dia kehendaki iaitu selain dari dosa
syirik. Barang siapa yang mempersekutukan Allah, maka sungguh ia telah
berbuat dosa yang besar.” – (Surah an-Nisa’, ayat 48)
Dalam surah yang sama, ayat 116, Allah mengulangi kembali dosa besar
syirik melalui firman-Nya yang bermaksud: “Bahawa sesungguhnya Allah
tidak akan mengampunkan dosa seseorang yang syirik kepadanya dan Allah
akan mengampunkan kepada sesiapa yang Dia kehendaki iaitu selain dari
dosa syirik. Barang siapa yang mempersekutukan Allah, maka sesungguhnya
ia telah tersesat sejauh-jauhnya.”
Dalam surah Luqman, Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya
syirik itu adalah satu kezaliman yang amat besar.” – (Surah Luqman, ayat
13)
Penegasan bahaya syirik tidak terhenti setakat itu saja, malah
ditegaskan lagi melalui sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidakkah
pernah aku nyatakan kepada kamu mengenai dosa yang paling besar? Baginda
mengulanginya sebanyak tiga kali. Sahabat menjawab: Sudah tentu wahai
Rasulullah. Sabda baginda: Syirik kepada Allah dan menderhaka kepada
kedua ibu bapa. Ketika itu Baginda bersandar dan kemudian baginda duduk.
Sabda Baginda lagi: Perkataan yang palsu dan penyaksian yang palsu.”
Seorang sahabat bernama Abdullah bertanya kepada Rasulullah SAW:
“Apakah dosa yang paling besar di sisi Allah? Jawab Baginda: “Engkau
menjadi suatu yang lain sekutu bagi Allah sedangkan Dialah yang
menjadikan kamu. Aku (Abdullah) berkata: Sesungguhnya ini suatu yang
berat. Aku bertanya lagi: Kemudian apa lagi dosa yang besar? Baginda
menjawab: “Engkau membunuh anak kamu sendiri kerana takut fakir. Aku
bertanya, kemudian apa lagi? Baginda menjawab: “Engkau berzina dengan
isteri jiranmu sendiri.” – (Hadis riwayat Muslim)
Daripada Anas menyebut bahawa Rasulullah SAW bersabda mengenai dosa
besar iaitu mensyirikkan Allah, menderhaka kedua ibu bapa, membunuh
nyawa dan memberi penyaksian palsu. – (Hadis riwayat Muslim)
Hadis lain, daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW telah menasihatkan
sahabat dan orang Islam supaya menjauhi tujuh perkara yang membinasakan
hidup seseorang iaitu mensyirikkan Allah, melakukan perbuatan sihir,
membunuh nyawa yang diharamkan oleh Allah kecuali dengan jalan yang
benar, memakan harta anak yatim, memakan riba, lari daripada medan
peperangan dan menuduh perempuan Mukmin suci melakukan zina. – (Hadis
riwayat Muslim)
Jenis syirik
Syirik dibahagikan kepada dua iaitu syirik khafi (tersembunyi) dan syirik jali (terang dan nyata).
Syirik jali ialah syirik yang terang, nyata dan besar yang
boleh menyebabkan seseorang itu dianggap jatuh ke tahap kufur. Syirik
ini boleh berlaku melalui salah satu daripada tiga keadaan iaitu:
- Menerusi i’tiqad seperti meragui atau menafikan kewujudan Allah. Justeru, mana-mana fahaman yang meragui dan menafikan kewujudan Allah seperti fahaman komunis dan ateis adalah jelas syirik.
- Menerusi perbuatan atau amalan tertentu seperti menyembah patung, berhala, batu, pokok, matahari, bulan bintang atau objek tertentu. Perbuatan memuja nasib dan meminta nombor ekor di kubur tertentu atas dakwaan kubur itu keramat juga adalah unsur syirik. Bahkan ulama menjelaskan perbuatan terlalu memuja dan mendewakan orang atau pemimpin tertentu juga adalah perbuatan syirik.
- Menerusi lidah atau perkataan seperti menghalalkan perkara haram dan mengaku keluar daripada agama Islam. Termasuk dalam kategori ini ialah perkataan yang boleh menyebabkan terbatal syahadah seseorang Muslim.
Syirik khafi ialah syirik yang kecil dan tersembunyi yang
menyebabkan hilang atau luputnya pahala seseorang. Syirik itu banyak
berkaitan dengan perbuatan riak di dalam beramal atau melakukan sesuatu
perkara.
Perkara itu jelas disebut dalam al-Quran
melalui firman Allah yang bermaksud: “Barang siapa yang berharap untuk
bertemu dengan Allah (di hari akhirat kelak), maka hendaklah dia
melakukan amal salih dan janganlah dia mempersekutukan Allah dengan
sesuatu di dalam ibadatnya.” – (Surah al-Kahfi, ayat 110)
Maksud syirik di dalam beramal seperti dalam ayat itu ialah menunjuk-nunjuk ketika beramal atau riak di dalam beramal.
Rasulullah SAW dalam sabdanya pernah menasihatkan sahabat supaya
berhati-hati dan menjauhi syirik kecil, lantas ditanya oleh sahabat
apakah yang dimaksudkan dengan syirik kecil itu. Maka Rasulullah menjawab, syirik kecil yang dimaksudkan ialah riak dalam beramal.
Allah menjelaskan bahaya syirik khafi dalam firman-Nya yang
bermaksud: “Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu dan kepada
nabi-nabi terdahulu sebelummu, jika kamu mempersekutukan Tuhan, nescaya
akan terhapuslah segala amalanmu dan tentulah kamu termasuk di kalangan
orang yang rugi.” – (Surah az-Zumar, ayat 65)
Firman Allah lagi yang bermaksud: “Barang siapa yang mempersekutukan
sesuatu dengan Allah (tidak ikhlas kepada-Nya dalam beramal), maka
adalah dia seolah-olah telah jatuh dari langit lalu disambar oleh burung
atau diterbangkan angin ke tempat yang jauh.” – (Surah al-Hajj, ayat
31)
Melihat kepada situasi hari ini, ternyata amalan mensyirikkan Allah
sama ada syirik jali atau khafi berlaku secara sedar atau tidak.
Walaupun daripada kalangan orang Islam tidak menyembah berhala, tetapi
mereka terdedah kepada perbuatan syirik.
Kepercayaan kepada tempat keramat, keyakinan secara membuta tuli
terhadap bomoh atau dukun, penggunaan tangkal dan azimat, menyembah
kemewahan dunia dan material, keyakinan rezeki seperti gaji dan upah
datang daripada manusia dan bermacam lagi adalah antara amalan yang
menjurus kepada syirik.
Gejala syirik khafi tidak kurang hebatnya dengan berleluasanya gejala
riak, beramal untuk manusia, perasaan dengki, mengharap reda manusia,
bermuka-muka, tidak ikhlas, menandakan amalan syirik memang menguasai
hidup umat Islam kini.
Langkah mesti dilakukan bagi mengelakkan ia daripada terus membarah
di dalam hidup manusia. Langkah seperti penerangan mengenai bahaya
syirik menerusi seminar, ceramah, bengkel dan seumpamanya. Anggota
masyarakat mesti didedahkan dengan bahaya syirik supaya mereka dapat
membezakan apakah pekerjaan dan perkataan mereka selama ini mengandungi
unsur syirik atau sebaliknya.
Dikutip dari: Wikipedia